Penyanyi lagu ‘The Your Love’ itu memakai pakaian pelik rekaan pereka warga India Manish Arora ketika menghadiri majlis di Panggung Nokia, Los Angeles.
Gaun daripada koleksi musim bunga 2011 yang digayakan menampilkan struktur rangka manusia berwarna keemasan dengan bentuk sangkar di bahagian rusuk.
Pakaian yang menarik perhatian ramai itu dikatakan berharga kira-kira STG10,000 (RM50,000).
Penyanyi berusia 25 tahun dan berasal dari Trinidad yang baru melancarkan albumnya ‘Pink Friday’ pada minggu lalu itu turut mewarnakan rambutnya dengan warna perang dan hijau.
Nicki mencuba gaya terbaru rambut berwarna hijau selepas puas berambut merah muda untuk beberapa minggu.
Sementara gaya Nicki menarik perhatian pengunjung dalam acara karpet merah, penampilan terbaru Rihanna pula menjadi bualan ramai pada malam itu.
Penyanyi terbabit tiba ke majlis AMA dengan gaya rambut kerinting berwarna merah ala 80-an, kemungkinan Rihanna cuba meniru Madonna yang suka menokok-tambah fesyen rekaan orang lain.
Rihanna mengekalkan fesyen menggoda apabila mengenakan gaun Elie Saab yang mendedahkan bahagian belakang tubuhnya, tetapi menukar pakaian lebih menjolok mata ketika muncul di pentas.
Penyanyi berusia 21 tahun itu mendapat perhatian hadirin dengan penampilan seksi ketika menyampaikan medley beberapa lagu hit tahun ini.
Pada awal petang sebelum AMA bermula, Rihanna bergaya di karpet merah dengan gaun merah bersulam rekaan Elie Saab.
Kemudian ketika menerima anugerah untuk kategori Artis Wanita Terbaik Soul dan R&B , dia juga memakai gaun rekaan Elie Saab yang berwarna kelabu kehijauan.
Sejak beberapa minggu lalu, penyanyi itu menggayakan rambut merahnya dengan pelbagai gaya fesyen selepas muncul dengan rambut lurus panjang, dipotong pendek dan mengikut potongan wajah.
Sejak akhir-akhir ini, Rihanna menjadi perhatian ramai berikutan penampilan seksinya termasuklah gambar untuk kulit muka depan albumnya yang berbaur kelucahan apabila penyanyi itu muncul separuh bogel.
Bagaimanapun, pada malam AMA, dia menghadapi persaingan daripada Christina Aguilera, Fergie dan Katy Perry yang turut muncul dengan pakaian mengghairahkan ketika mereka membuat persembahan pada malam itu.
Christina Aguilera mengenakan pakaian seperti penari bogel yang dipadan dengan but ketika menyampaikan lagu barunya berjudul ‘Express’.
Penyanyi berkenaan membuat persembahan bersama penari iringan dengan latar belakang seperti di kelab malam.
Katy Perry pula menggemparkan pentas dengan lagu single terbarunya daripada album Teenage Dream yang berjaya meraih jualan platinum.
Puan Russel Brand itu muncul dengan sut kucing merah hati ketika menghiburkan hadirin dan pada akhir persembahan, dia diangkat penari iringan.
Sebelum itu, ketika tampil di karpet merah, Katy menggayakan gaun merah jambu yang mendedahkan dadanya.
Penghibur Fergie yang membuat persembahan bersama kumpulan Black Eyed Peas kelihatan begitu dramatik mempersembahkan nyanyian rancak mereka ‘The Dirty Bit’.
Fergie yang menggayakan pakaian seksi berwarna-warni bersama anggota kumpulannya turut naik ke pentas untuk menerima anugerah bagi kategori Kumpulan Muzik Terbaik.
Acara AMA mencatat pelbagai persembahan tidak dapat dilupakan dan antaranya persembahan Miley Cyrus yang menyanyikan lagu irama balada ‘Love & Forgiveness’ dengan gaun hitam yang berkibaran.
Taylor Swift turut memeriahkan acara dengan mempersembahkan lagu terbarunya ‘Speak now with a rendition’ daripada album balada ‘Back to December’.
Sebelum itu, Taylor meraih anugerah untuk kategori Artis Wanita Country Terbaik untuk kali ketiga selepas memenanginya selama dua tahun berturut-turut.
“Saya hanya ingin mengucapkan terima kasih kepada peminat. Anda memahami dan tahu dari mana asal saya. Terima kasih kerana memberi sokongan padu untuk album baru saya,” ujar Taylor.
Bagaimanapun, artis paling menyerlah pada malam AMA ialah Justin Bieber yang memenangi setiap anugerah yang dicalonkan untuknya.
Remaja berusia 16 tahun itu yang akan membuat persembahan di United Kingdom minggu depan dalam program X-Factor memenangi empat anugerah termasuklah anugerah khas AMA iaitu kategori Artis Terbaik.
Bieber menewaskan sebilangan artis lama seperti Eminem, Usher, Katy mahupun Lady Gaga. Bieber menjadi penyanyi paling muda memenangi anugerah itu.
Bieber turut meraih anugerah untuk kategori Album Pop/Rock Terbaik, Artis Lelaki Pop/Rock Terbaik dan Artis Paling Cemerlang.
“Saya tidak dapat menghentikan tersenyum...ia sungguh hebat,” kata Bieber selepas menewaskan Eminem dan Usher untuk anugerah Artis Lelaki Pop/Rock Terbaik.
“Secara jujur, saya tidak tahu bagaimana ia boleh terjadi kerana saya sudah menyanyikan lagu Eminem sejak saya berusia tiga tahun dan Usher pula ialah mentor saya. Jadi semua ini sesuatu yang cukup hebat,” tambah Bieber.
Eminem dan Lady Antebellum mendahului artis lain apabila menerima lima pencalonan. Namun, dia tidak pulang dengan tangan kosong apabila memenangi dua anugerah, begitu juga dengan Usher yang turut membawa pulang dua anugerah. Lady Antebellum pula terpaksa berpuas hati dengan satu anugerah saja.
Comments :
0 ulasan to “Aksi Melaram Artis barat”
Catat Ulasan