PENAMPILANNYA sebelum ini dilabel seksi hingga membuatkan dirinya serba salah dan akhirnya mengubah imej lebih sopan dengan berbaju kurung, berjubah mahupun baju labuh yang menutup bentuk tubuhnya.
Sejak awal tahun lalu, penyanyi Farah Asyikin Zulkifli, 31, mengakui selesa dengan penampilan itu dan tidak patah semangat walaupun imej begitu lebih dulu dilabel dengan Ana Rafali.
Nyata bukan mudah laluan yang ditempuh janda muda ini untuk merealisasikan niat baiknya itu. Ada saja pihak yang memandang sinis penampilannya. Pernah berlaku dalam satu persembahan di Kuantan, Pahang, dirinya tidak dibenarkan naik pentas dengan penampilan berbaju kurung kerana dikatakan tidak sesuai.
Ketika ditemui pada majlis anjuran Rafflesia The Pearl Centre sempena Festival Filem Malaysia ke-23 (FFM23), baru-baru ini, Farah kelihatan tidak selesa dengan gaun merah jambu muda rekaan Rizman Ruzaini. Tangannya tidak lepas di dada seperti menutup sesuatu.
Apabila ditanya perkara itu, Farah mengakui kurang selesa dengan pakaian itu kerana belahan pada dada agak luas.
Katanya, pakaian itu memang cantik, tetapi dia kurang selesa kerana mendedahkan dada. Kalau silap gaya, boleh memalukan dirinya dan cuba menutupnya dengan tangan.
"Saya mahu memakai kerongsang dan meminta izin dengan perekanya, tetapi mereka keberatan kerana tidak mahu merosakkan rekaan baju ini.
"Saya tidak selesa sepanjang majlis berlangsung apatah lagi ketika jurugambar merakamkan gambar saya. Sebenarnya, ini juga pakaian kedua saya selepas pilihan pertama, gaun hijau saya tolak kerana mendedahkan dada dan saya diberi pilihan ini.
"Walaupun kurang selesa, saya tiada pilihan kerana tidak membawa baju sendiri kerana penganjur sediakan pakaian untuk digayakan sesuai dengan aksesori tajaan Rafflesia.
"Saya berharap tiada masalah untuk kemunculan saya di malam kemuncak FFM23 nanti (Ahad) apabila menyampaikan lagu ERT daripada filem Pisau Cukur," katanya.
Penyanyi yang popular dengan lagu Hello dan Kembali Di Sisimu berharap keputusannya untuk tampil lebih sopan dihormati kerana tidak mahu lagi dilanda kontroversi membabitkan pakaian sebagaimana sebelum ini.
Pintanya, janganlah pandang sinis wanita berbaju kurung.
Dirinya pernah dikecam apabila berpakaian tidak sesuai ketika menjayakan satu program televisyen untuk hari raya. Penampilannya di pentas ketika menjayakan satu majlis anugerah juga mendapat kritikan kerana seksi sedangkan ketika itu Farah cuba menutup kakinya dengan memakai dua lapis 'legging'.
Bagaimanapun, apabila dilihat di skrin televisyen, tetap seksi seolah-olah mendedahkan pahanya.
Begitu juga cerita peribadi bermula dengan perkahwinannya dengan Fariz Yahya pada 12 Mei 2007 kemudian bercerai. Dua cerita ini diakui menjejaskan kerjaya seninya sejak menyertai program realiti Malaysian Idol pada 2005 kemudian One In A Million musim kedua (2006) hingga dia nekad melakukan sesuatu untuk mengubahnya.
"Kadangkala bila buat persembahan, lampu limpah membuatkan kita kelihatan seksi. Begitu juga ketika fotografi, ada kalanya teknik penggambaran menyebabkan bentuk badan kelihatan menyerlah.
"Apabila tengok kembali gambar sendiri dengan keadaan begitu, timbul rasa malu hingga saya berfikir bagaimana untuk mengatasi situasi itu.
"Selepas bercerai, saya juga berharap kisah peribadi tidak lagi menjadi bahan berita. Tapi apabila saya bertunang secara senyap, media dapat tahu juga dan terbaru, saya putus tunang juga dapat dihidu media.
"Bukan saya sengaja menjaja cerita peribadi, malah cuba sedaya upaya melindunginya, tetapi akhirnya diketahui juga. Apabila ditanya rakan wartawan, saya tidak mampu untuk berbohong," katanya.
Kisah putus tunang
Pada pertemuan petang itu, Farah juga tidak keberatan berkongsi cerita mengenai kisahnya putus tunang yang sudah pun diketahui umum sejak sebulan lalu.
Farah bertunang dengan duda anak satu yang hanya diperkenalkan sebagai M dan bakal berkahwin 31 Julai lalu.
Bagaimanapun, awal Julai, Farah membuat keputusan mengejutkan dengan memutuskan pertunangan dengan jejaka asal Singapura dan menjadi jurutera muzik di Macau itu.
Tentunya berita ini mengejutkan ramai kerana sebelum ini Farah bercerai selepas tidak sampai dua tahun bersama dan kini putus tunang pula menjelang hari disatukan. Pastinya kejadian terbaru ini membuatkan ramai menuding jari kepadanya bahawa sebenarnya dia yang bermasalah.
Apapun, kata Farah, dia sudah memikirkan baik buruk atas keputusannya itu dan bersedia dengan apa saja kemungkinan yang berlaku. Malah, kata Farah, keputusan itu bukan saja membabitkan mereka berdua, malah banyak pihak kerana undangan sudah dibuat begitu juga segala persiapan.
"Alhamdulillah, keluarga menghormati keputusan saya dan saya terharu sangat kerana mereka juga tabah melalui semua ini. Sebagai selebriti, saya sedar apa pun yang berlaku kepada saya akan terpercik juga ke muka mereka.
"Mereka terus memberi semangat kepada saya. Apa yang lebih bagi mereka ialah mahu saya gembira," katanya.
Kata Farah, hidupnya kini tenang dan sedikit pun tidak tertekan dengan keputusan yang diambilnya. Farah juga menafikan dirinya terburu-buru membuka langkah baru selepas bercerai.
"Saya bercerai tiga tahun lalu dan mula rapat dengan seseorang akhir tahun lalu iaitu selepas dua tahun kembali solo.
"Sebelum ini ada kawan, tetapi tidaklah rapat. Saya tidak terburu-buru menjalin hubungan baru sebaliknya mengikut keadaan.
"Bagi saya semua ini kerja Tuhan dan serahkan kepada-Nya soal jodoh. Saya juga reda dengan apa yang berlaku dan mungkin ada hikmah di sebaliknya," katanya.
Perkenalan mereka bermula di laman sosial facebook dan dia sering menghantar komen di lamannya.
Setahun berbuat demikian, lelaki itu memulakan langkah menghantar pesanan di ruang pesanan. Dari situ, hubungan mereka makin serius sehingga membawa kepada pertemuan.
Mereka bertentang mata buat kali pertama di Kuala Lumpur, apabila si jejaka sanggup terbang dari Macau ke Kuala Lumpur untuk bertemu dengannya sehingga berjaya menambat hatinya.
Enggan bercerita lanjut mengenai punca putus tunang kerana disifatkan agak peribadi, Farah mengakui bersyukur berbuat demikian sebelum mereka berkahwin.
Baginya, tidak guna meneruskan hubungan itu kerana kelak berhadapan masalah.
"Apabila menjalin hubungan dengannya, pelbagai dugaan saya lalui. Bagaimanapun, saya cuba mencari jawapan dari cerita yang saya dengar kerana ingin tahu dan akhirnya saya menemui jawapan untuk segala teka-teki itu. Akhirnya saya membuat keputusan nekad untuk berpisah kerana rasa itu jalan terbaik buat saya," katanya.
Kini Farah tumpukan perhatian dengan pembikinan album barunya yang diterbitkan sendiri.
Sebelum ini Farah menghasilkan single Ada Kamu dan juga Penjagaku yang diharapkan untuk pasaran Ramadan tetapi tidak diputarkan di radio.
Farah menerimanya sebagai tiada rezeki dan kini mempertaruhkan pula lagu duet dengan penyanyi kumpulan Fotograf, Shamrin, Kamu, Aku Satu ciptaan dan lirik Farah.
"Ia lagu pop rock dan saya harap mendapat perhatian stesen radio untuk diputarkan," katanya.
>PROFIL
NAMA SEBENAR: Farah Asyikin Zulkifli
TARIKH LAHIR: 11 November 1979
ASAL: Kuala Lumpur
PENDIDIKAN; Diploma Pengiklanan dan Penyiaran dari Universiti LimKokWing
ALBUM: Bebas (1999) dan 1000 Penipuan (2007)
PENCAPAIAN: Salem Cool Planet (1999), tempat ketiga Malaysian Idol 2 (2005), tempat kelima One In A Million (2006) dan Artis Baru Terbaik Anugerah Planet Muzik 2008
SUMBER : hmetro.com.my
Comments :
0 ulasan to “'M tidak sesuai untuk saya'”
Catat Ulasan