OhGosiP.CoM

Posts Subscribe to CommentsComments


Jumaat, 1 Oktober 2010

Loghat Sabah masih kuat

BERUNTUNG menjadi peserta program realiti popular Akademi Fantasia (AF) kerana popularitinya melekat di hati peminat dalam tempoh masa yang agak lama. Meskipun Akademi Fantasia musim ke-8 (AF8) sudah 5 bulan berlabuh, populariti Siti Adira Suhaimi atau Adira juga tidak kalah walaupun hanya menduduki tempat kedua.

Gadis cilik berusia 19 tahun ini masih diraikan peminat setianya. Tidak kurang juga Adira sudah berpeluang merasai pelbagai cabang berkaitan dunia seni antaranya menjadi duta produk kecantikan dan berlakon drama. Wajah comel serta keletah selamba gadis yang berasal dari Sabah ini adalah pakej yang memungkinkan dia untuk meraih pelbagai peluang dalam bidang seni.

Kemunculan pertamanya menerusi telefilem untuk siaran Aidilfitri lalu, Lawaknya Fantasia Raya yang disiarkan menerusi Astro Ria, mendapat pelbagai reaksi yang memuji lakonannya.

Bagaimanapun, Adira berkata dia mahu fokus pada nyanyian terlebih dahulu daripada memikirkan perkara lain. Dia tidak mahu tamak dan terburu-buru sehingga menjejaskan matlamat sebenarnya dalam seni.

“Biarlah saya diterima secara menyeluruh oleh peminat sebelum masuk ke bidang lain. Single pertama saya, Ku Ada Kamu diterima baik oleh peminat dan saya bersyukur sehingga sekarang masih lagi jadi pilihan ramai. Namun, kalau nak berharap pada satu lagu saja memang susah juga.

“Itulah sebabnya saya akan merakamkan single kedua yang masih belum diberi judul. Harapnya, lagu ini akan menemui peminat akhir tahun ini. Demo lagu ini yang dihasilkan Audi Mok sudah ada dan hanya menunggu masa untuk melengkapkannya. Lagu ini berbeza dengan single pertama dan ia menjadikan saya seorang penyanyi yang penuh variasi,” katanya.

Mengenai lakonan, kata Adira, biarlah dulu kerana dia masih belajar untuk mantapkan penguasaan bahasa yang betul. Akui Adira, banyak pro dan kontra yang dilemparkan pelbagai pihak mengenai lakonan pertama­nya itu. Antara yang memberi komen ialah ibunya sendiri yang mengatakan loghat Sabahnya masih kuat.

“Sebenarnya, saya sukakan watak dalam cerita itu kerana karakternya begitu ceria. Apapun, sama ada komen positif atau negatif, saya terima dengan hati terbuka. Mungkin apabila penguasaan bahasa saya sudah bagus nanti, kalau ada tawaran, Insya-Allah saya akan berlakon.

“Secara jujur, saya sebenarnya tak tahu beza antara berlakon drama dan filem. Kalau dapat tawaran nanti, jika mampu buat saya akan lakukan sebaik mungkin,” katanya.

Menurut Adira, ketika ini dia sibuk menjalani latihan untuk Konsert Reunion AF yang bakal berlangsung di Stadium Putra, Bukit Jalil pada 10 Oktober nanti. Istimewanya, konsert ini bakal menjadi sebutan kerana mengumpulkan ramai bintang AF yang sudah popular untuk bergabung di atas satu pentas bersama bintang AF8.

“Konsert selama dua jam itu turut membariskan Mawi, Stacy, Hafiz dan Aizat. Memang saya teruja juga untuk berkongsi­ ­pentas dengan mereka yang ­terlebih dulu mencipta nama. Peminat boleh hadir beramai-­ramai menyaksikannya kerana masuk adalah percuma,” katanya.

Sempena Aidilfitri tahun ini, Adira turut meraikan peminatnya melalui majlis Riang Ria Adira Bersama Peminat anjuran kelab peminatnya, Adira Fan Club (AFC) yang diadakan di sebuah hotel baru-baru ini.

Hampir 40 orang peminatnya hadir pada petang itu dan turut meraikan acara memotong kek sempena ulang tahun kelahiran Adira yang ke-19 pada 19 September lalu. Pelbagai acara menarik dijalankan bagi mengeratkan ikatan dengan peminat.

Kata Adira, dia terharu dan berjanji tidak mensia-siakan sokongan diberikan dengan melakukan yang terbaik dalam kariernya. Dia berjanji takkan mengecewakan harapan semua peminatnya.

“Saya sangat gembira dan tak tahu bagaimana nak balas budi mereka yang tak jemu-jemu beri sokongan dari awal. Walaupun AF dah berakhir tapi mereka masih lagi sokong saya. Saya begitu menghargainya dan secara terbuka memohon maaf kepada mereka serta peminat lain jika tanpa sengaja melakukan perkara yang menyinggung perasaan,” katanya.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah rakan AF8 iaitu Maulana, Iwan dan Anum. Aksi kemesraan Adira yang ditunjukkan terhadap Maulana mengundang persoalan apakah mereka bercinta. Bagaimanapun, apabila ditanya soalan ini, Adira pantas menjawab hubungan mereka sekadar rakan sesama artis.

“Saya sebenarnya ajak semua rakan AF8 tapi mereka tak dapat datang kerana ada hal lain. Saya harap jangan salah anggap kemesraan saya dengan Maulana kerana sejak dalam AF, dia seperti penjaga saya.

“Itulah sebabnya saya rapat dengannya dan hubungan ini boleh dianggap macam adik dan abang. Saya memang tiada apa-apa perasaan cinta dengan dia.

“Lagipun umur saya masih muda, jadi buat masa ini saya lebih fikirkan mengenai karier berbanding teman hidup. Mungkin pada umur 28 tahun, baru saya kahwin kerana saya berhasrat akan bergelar isteri sebelum usia 30 tahun. Apabila sampai masanya, saya takkan tolak jodoh dengan sesiapapun,” katanya.

Dalam majlis itu, Adira turut menyampaikan beberapa lagu termasuk lagu Ku Ada Kamu. Penyelaras AFC, Zuraida Sh Ibrahim berkata, AFC mempunyai kira-kira 100,000 peminat yang aktif berinteraksi menerusi laman sosial facebook (fb).

“Sebagai peminat, kami menyenangi sikap Adira yang gila-gila dan berjanji akan terus menyokongnya. Kami akan menegur apa yang perlu untuk kebaikan dan ternyata dia menerima dengan hati terbuka.

“Jika Adira ingin kembangkan bakat dalam lakonan, kami tiada halang kerana sekarang sudah trend penyanyi jadi pelakon. Sekurang-kurangnya, dia boleh kukuhkan popularitinya di mata peminat.

“AFC akan memastikan nama Adira kekal bertahan dalam dunia seni dengan mengundi pencalonan lagu-lagunya di radio serta apa-apa pertandingan yang disertainya. Kalau dia gagal pun, kami tetap akan berada di belakangnya kerana dia memang istimewa,” kata Zuraida.

Nama Penuh: Siti Adira Suhaimi
Tarikh Lahir: 19 September 1991
Tempat Lahir: ­Hospital Ranau, Sabah
Umur: 19 tahun
Bangsa: Kadazan/Dusun
Agama: Islam
Pendidikan ­Tertinggi: SPM
Adik Beradik: Anak bongsu daripada lapan beradik
Pencapaian: Tempat kedua AF8
Gambaran ­Peribadi: Pendiam, pemalu, aktif dan penyayang.

SUMBER : hmetro.com.my

Comments :

0 ulasan to “Loghat Sabah masih kuat”

Komenlah..kalau rasa nak komen: Facebook Fan Page Kami Likelah Kalau Suke www.ohgosip.com Di Facebook FanPage Kami

Catat Ulasan

 

Copyright © 2009 by Gosip Artis | Cerita Artis | Gambar Artis | Perihal Dunia, Blog Hiburan