OhGosiP.CoM

Posts Subscribe to CommentsComments


Ahad, 3 Oktober 2010

3 dara jadi mangsa


SEMENTARA menunggu waktu berbuka puasa satu petang Ramadan lalu, tiga jelitawan ini sempat mencuri masa duduk bersembang satu meja. Sesekali mencuri dengar, terasa bahang­nya borak mereka. Terdengar juga beberapa nama, syarikat serta pihak tertentu yang disebut. Namun itu semua bukan propaganda, fitnah atau tuduhan kosong semata-mata, sebaliknya segala cerita disembangkan adalah kebenaran yang terpaksa ditelan walaupun rasanya pahit yang teramat.

Celah mereka serentak, bulan puasa tidak elok bercakap bohong!


Pertama kali digandingkan bersama untuk satu sesi fotografi, tidak langsung wujud istilah janggal. Masing-masing petah bercerita dan bergurau-senda.

Malah Noor Hasliyah Abu Hasan (Alyah), Amanda Imani dan bekas penyandang tangga ketiga Akademi Fantasia 4, Nur Farhan Azizan bagai punya satu persamaan tatkala membangkitkan isu terpedaya akan janji manis, kebodohan kerana terlalu percayakan orang serta dilema dengan situasi yang terus menghimpit.

Masing-masing meluahkan apa yang terpendam, namun berkongsi tawa sinis memikirkan senario yang dilalui mereka.

Bingkas Farhan menjawab tatkala diusik akan hilang pahala kerana tidak henti-henti bercerita.

“Kami bersembang untuk kongsi pengalaman saja supaya orang lain lebih berhati-hati. Lagipun apa yang kami ceritakan bukan rekaan, tapi kisah betul yang berlaku. Harap-harap jangan ada penyanyi lain pula terjerat.

“Namun jangan risau, kami dengan hati terbuka akan memaafkan sesiapa saja yang pernah buat dosa, terutama pada Ramadan dan Syawal,” katanya berseloroh.

Sepuluh tahun mengharap sejuta angan-angan bagi membolosi tembok tebal ke gelanggang seni, akhirnya nama Alyah tiba di puncaknya. Entah mana silapnya, gadis berusia 29 tahun kelahiran Gelang Patah, Johor Bahru ini sukar mencipta nama meskipun vokal nyanyiannya lebih baik daripada kebanyakan penyanyi sedia ada.

Tempoh lama itu banyak memberi pengalaman buatnya hingga pernah satu ketika, bekas peserta program Bintang HMI yang berjaya memperkenalkan­nya pada 2000 sebelum mencuba nasib di Gang Starz dan One In A Million (OIAM) ini jatuh tersung­kur kerana terlalu penat dengan segala dugaan.

Malah kemudian gadis berimej berani ini dipelawa menyertai Fabulous Cats tetapi masalah kesihatan membantutkan hasrat.

Mujur kiblatnya pada sema­ngat dan kesungguhannya untuk menggapai impian tidak sekali luntur, Alyah terus berusaha hingga hari ini.

“Sukar digambarkan detik pahit yang pernah menyelubungi saya sebelum ini. Pahitnya berdiri menunggu detik untuk berjaya bukan saja mengundang air mata, malah saya pernah terfikir untuk kembali kepada kehidupan asal kerana tidak tahan dengan halangan yang sentiasa meng­ganggu perjalanan saya.

“Insiden menjadi mangsa penipuan, janji manis dan propaganda sesetengah pihak yang ingin mengambil kesempatan ke atas saya bukan sekali berlaku. Kadangkala saya bagai lali dan kalis dengan apa yang berlaku. Ada saja yang datang bagi menghancurkan usaha saya dan lebih menyakitkan apabila ada pihak menunggu masa untuk ‘membelasah’ hasil usaha kita. Tikam-menikam perkara biasa dan saya makin bijak mengenal pasti individu ‘busuk’ seperti itu,” kata ibu kepada dua anak angkatnya, Muhammad Alif, 4, dan Naziatul Afikah yang hampir mencecah setahun itu.

Ditanya apakah penipuan yang pernah membuatkannya menangis dan siapakah dalang itu, penyanyi yang baru saja memenangi Lagu Terbaik di pertandingan Gah 1 RTM menerusi lagu Tak Mungkin Kerna Sayang itu enggan bersuara. Disogok lagi persoalan sama, Alyah mengunci bicaranya.

“Biar segala yang berlaku itu lenyap daripada kamus hidup saya. Mungkin sebelum ini saya masih mentah dan tidak tahu selok-belok dunia hiburan atau mungkin juga mudah percaya janji orang, saya terjerumus ke lembah neraka itu.

“Namun saya tidak mahu mengungkit atau memanjang­kan perkara yang berlalu. Saya anggap itu semua suratan dan rezeki untuk saya belum sampai.

“Sekarang saya mula belajar daripada kesilapan dan cuba elak untuk mendekati orang yang berbau penipuan,” katanya yang bakal tampil dengan single terbarunya, Kau Bisu sentuhan komposer Omar K dan lirik Zain Almokza.

Bintang muda yang berani memperjuangkan genre jazz dan pop urban, Amanda Imani pula punya cerita berbeza. Rasa kasihan akan dugaan bertimpa-timpa membunuh Alyah, Amanda yang kini berusia 18 tahun menzahirkan perasaan kecewa­nya kerana hingga kini, selepas hampir setahun mencari ruang, dia masih gagal.

Bukan setakat lagunya seperti Selamilah Cinta, Cinta Seluas Angkasa hingga yang terbaru, I’m Free jarang diputarkan di stesen radio, malah kewujudan bintang kelahiran Kuala Lumpur ini masih samar.

Sudah disandarkan dengan material lagu yang berkualiti serta rangka promosi yang baik, namanya masih tersadai bagai tersekat untuk ke pasaran umum.

“Jika diukur, dugaan yang saya tempuhi tidaklah sebesar mana, namun rasa terkilan dan kecewa itu tetap ada yang terus berbekas di hati. Mana tidaknya, hampir setahun saya bergelut memperkenalkan muzik ini namun hingga kini, ia masih gagal mendapat perhatian.

“Lagu yang saya cipta di dalam dua album saya, baik yang pertama dan terbaru versi bahasa Inggeris, masih tidak berpeluang didengar di mana-mana stesen radio. Puncanya saya tidak dapat kesan dan alasan yang pernah saya dengar pula ada kalanya tidak masuk akal.

“Memang penat sangat jika difikirkan semula segala usaha dan pengorbanan saya. Mujur keluarga memahami dan sentiasa menyokong. Namun saya tidak salahkan mana-mana pihak atas kegagalan itu kerana pada saya, setiap perkara itu berlaku kerana sebab.

“Sama ada berjaya atau tidak kita menghidu penyebabnya, lebih baik jika kita tinjau dulu diri sendiri, membetulkan mana yang perlu dan cuba tampil kali kedua. Saya percaya akan frasa itu dan ia tidak mematahkan semangat saya,” katanya.

Farhan yang sebelum ini berkali-kali bertukar pihak pengurusan juga sudah ‘masak’ dengan permainan kotor sesetengah pihak yang cuba merampas haknya sebagai penyanyi.

Meskipun baru setahun jagung, pelantun lagu Aku Saja Yang Tahu dan Kelmarin sebelum ini tidak mudah terpedaya. Malah jelasnya yang anggun menggayakan busana rekaan Bill Keith, penipuan yang datang tidak mudah menjatuhkan semangatnya.

“Memang beberapa kali juga dalang industri yang cuba merosakkan penggiat seni sendiri ini datang menghampiri. Jika gerak-gerinya dilayan, ia boleh menjadi. Namun sejak dari detik awalnya saya dapat menghidu tujuan serta agenda jahatnya, saya menolak dengan lebih awal sebelum mereka membuka mulut menabur janji lagi.

“Selalunya orang baru seperti saya sering diperkotak-katikkan oleh sesetengah pihak, terutama ketika berurusan mendapatkan lagu atau lirik serta undangan nyanyian.

“Penganjur akan cuba ‘memeng­gal leher’ kami dengan mengaut keuntungan yang melangkaui jumlah sepatutnya. Pendek kata, industri ini dipenuhi ramai manusia yang hanya berpaksi pada wang ringgit, anugerah serta pengarah kuasa semata-mata.

“Sukar untuk kita cari anak seni yang benar-benar hidup memperjuangkan nilai seninya,” katanya yang bakal menyusur dengan single Bukan Mimpi ciptaan Shamril Salleh.

Segala episod dipermain-mainkan sebegitu tidak langsung mengundang dendam pada tiga anak dara jelita ini. Kata mereka, biarlah yang berlalu terus pergi.

Segala yang pernah berlaku serta dosa yang tidak tergambar besarnya itu sudah dimaafkan. Ibarat perumpamaan zaman sekarang, kita 0-0.

MEKAP: TonyLukman (LV Vincent Hair & Beauty Saloon) - 012-9248634 begin_of_the_skype_highlighting 012-9248634 end_of_the_skype_highlighting
BUSANA: Bill Keith
LOKASI: Setiawangsa Business Suites (Terima kasih Sam Kassim)

Comments :

0 ulasan to “3 dara jadi mangsa”

Komenlah..kalau rasa nak komen: Facebook Fan Page Kami Likelah Kalau Suke www.ohgosip.com Di Facebook FanPage Kami

Catat Ulasan

 

Copyright © 2009 by Gosip Artis | Cerita Artis | Gambar Artis | Perihal Dunia, Blog Hiburan