ENAM tahun bakat Fasha Sandha dipersembahkan buat tatapan umum. Malah selama itu juga, wanita berusia 26 tahun ini terus diburu populariti dan kemudian dihimpit kontroversi yang sedikit sebanyak mencalar reputasinya sebagai anak seni. Lumrah, semua itu dilalui dengan sekuat hati.
Kental dan tegar jiwanya tiada kepalang. Hingga kini, biarpun pernah mengalami fasa turun naik dalam kerjaya seni, Fasha bersyukur masih diberi kudrat, ruang dan rezeki bagi meneruskan legasi dunia seni yang diterokainya. Malah 2010 terus menjadi tahun cari makan pelakon bernama penuh Nur Fasha Sandha Hassan ini.
Lebih membahagiakan, kamar hatinya juga sudah diketuk lelaki bernama Toh Muda Rizal Ashram Ramli atau lebih mesra dengan panggilan Jejai. Ia bukan lagi rahsia. Kenyataan terbuka Fasha dan Jejai sudah pun didedahkan sebelum ini.
“Memang hal kahwin belum pernah kami bincang sebelum ini. Tapi saya ada menetapkan satu tempoh tertentu kepadanya untuk membawa hubungan kami ke arah itu. Bagaimanapun saya tidak boleh mendedahkan berapa lama tempoh yang ditetapkan itu. Biarlah ia menjadi rahsia saya sendiri.
“Kalau boleh saya tidak mahu terlalu lama menjalinkan hubungan. Maka sebab itu saya tetapkan tempoh kepadanya. Bimbang juga apa saja boleh terjadi jika hubungan yang dijalinkan dalam tempoh yang lama. Semuanya juga berbalik kepada ketentuan Tuhan dan kita hanya merancang,” katanya sewaktu hadir sesi fotografi di Balai Berita, baru-baru ini.
Katanya yang muncul dengan filem 4 Madu arahan Prof Razak Mohaideen pada musim Aidilfitri lalu, dia seboleh-bolehnya tidak mahu memikirkan hal perkahwinan hingga boleh menjejaskan kebahagiaan yang sedang dikecapinya kini.
Katanya lagi, adalah lebih molek jika dia terus menikmati keindahan yang hadir itu.
“Tiada apa yang saya harapkan lagi selain mendoakan kesejahteraan dan kebahagiaan ini akan kekal bersama. Tiada apa yang perlu disembunyikan lagi dan saya juga tidak risau apabila keluar berdua di khalayak ramai. Sokongan peminat turut membuatkan saya lebih dihargai,” katanya yang menyifatkan kontroversi yang dihadapi lebih mematangkan dirinya dan lebih tahu siapa kawan serta siapa lawan.
Sejak dua bulan hingga sepanjang Ramadan lalu, anak kedua daripada lima beradik ini berada di lokasi penggambaran drama Chinta arahan Feroz Khan. Selepas bercuti raya, baki penggambaran disambung kembali. Drama 28 episod itu menghiasi slot Akasia di TV3 mulai 27 September lalu.
Menariknya drama itu menyatukannya kembali dengan dua pelakon drama Natasha yang pernah mencipta keghairahan sendiri di kalangan penonton dan peminat. Mereka yang dimaksudkan ialah Ezany Nizarif dan Fadilah Mansor. Selain itu Chinta turut dijayakan Farahdhiya, Ady Putra dan Datuk Rahim Razali.
“Drama ini dijangka boleh mencetuskan kembali fenomena seperti drama Natasha di TV3 suatu ketika dulu. Saya memegang watak Chenta dan berdendam dengan takdir yang ditentukan Tuhan. Mulanya dia seorang gadis yang baik tetapi selepas berlaku malapetaka dalam hidupnya, dia berubah menjadi antagonis.
“Insya-Allah, kalau jadi seperti yang dirancang akan berlakon filem arahan Melissa Saila berjudul Dari Kerana Mata. Watak yang ditawarkan Kalau tak silap saya hero yang dicadangkan ialah Awie. Saya diberitahu penggambaran filem itu akan bermula November ini selepas tamat penggambaran Chinta pada 22 Oktober,” katanya yang bakal muncul dalam filem Malaysia Ghostly Tales arahan James Lee, tahun depan.
Suka manjakan diri di Slimming Sanctuary
UMUM juga tahu pelakon tinggi lampai ini dikurniakan seraut wajah yang jelita dan belum terlintas di hatinya untuk melakukan pembedahan kosmetik. Apatah lagi melakukan suntikan botox di bahagian badannya. Katanya, terpulang kepada individu jika memilih untuk mempercayai kecantikan palsu sebegitu.
“Setakat ini, saya belum melihat keperluan melakukan perkara seumpama itu. Saya lebih percaya kepada kecantikan asli. Malah sepanjang hayat, saya tidak pernah memakai kanta lekap dan mewarnakan rambut. Saya hanya berbuat demikian demi tuntutan watak saja,” katanya.
Sepanjang kesibukannya bekerja, Fasha turut tidak lupa memanjakan dirinya di pusat sehenti kecantikan, Slimming Sanctuary yang menjadi penaja ABPBH 2009. Bahkan selama enam bulan, dia dilantik sebagai model label berkenaan.
“Saya akan cuba mencuri masa untuk ke sana sekalipun sibuk dengan komitmen berlakon. Badan dan jiwa yang penat juga perlu dimanjakan. Dengan Slimming Sanctuary, saya lebih segar, sihat, bertenaga dan lebih berkeyakinan.
“Saya sarankan anda di luar sana untuk mencuba pakej yang ditawarkan. Ia ternyata berpatutan dan berkesan. Ambillah masa untuk mencari ketenangan dek kesibukan bekerja. Slimming Sanctuary ada semua yang diperlukan. Tak percaya, cubalah ke sana sendiri,” katanya bersemangat.
Comments :
0 ulasan to “Tempoh buat Jejai”
Catat Ulasan